Bulan Rejab adalah bulan ketujuh dalam
kiraan taqwim Hijriyyah. Bulan ini termasuk salah satu di antara bulan suci dan
dinamakan sebagai bulan Allah. Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda
bermaksud:"Bulan Rejab bulan Allah, bulan Syaaban bulanku, dan bulan
Ramadhan bulan umatku."
Bulan Rejab juga dianggap bulan
istimewa kerana pada bulan ini berlaku peristiwa Isra' dan Mikraj Nabi Muhammad
Sallallahu `alaihi wasallam.
Di antara amalan yang baik diamalkan di
bulan Rejab ialah puasa dan bersedekah. Banyak hadis-hadis Nabi Sallallahu
`alaihi wasallam menyebutkan tentang kelebihan puasa di bulan Rejab. Antaranya
sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh At-Tabarani daripada Sa`id bin Abu
Rashid bermaksud : ("Barangsiapa berpuasa sehari daripada bulan Rejab maka
ia seperti berpuasa setahun, dan barangsiapa berpuasa daripadanya (bulan Rejab)
tujuh hari, ditutup daripadanya pintu-pintu Jahannam (neraka), dan barangsiapa
berpuasa daripadanya lapan hari, dibukakan baginya lapan pintu syurga, dan
barangsiapa berpuasa daripadanya sepuluh hari, tidak meminta dia kepada Allah
melainkan diberikannya, dan barangsiapa berpuasa daripadanya lima belas hari,
menyeru orang yang menyeru dari langit : " Sesungguhnya diampunkan bagimu
dosa-dosa yang lalu maka mulakanlah amal", dan barangsiapa menambah (hari
puasa), Allah menambahnya (kelebihan).")
Dalam hadis yang lain telah dikeluarkan
oleh al-Khallal, daripada Abu Sa`id (secara marfu') bermaksud: ("Bulan Rejab
adalah di antara bulan-bulan haram, hari-hari di dalamnya ada tertulis di
pintu-pintu langit yang keenam, maka apabila seseorang berpuasa sehari
daripadanya (bulan Rejab) dan menyempurnakan puasanya dengan penuh ketaqwaan
kepada Allah, bercakaplah pintu dan hari tersebut seraya
berkata: "Tuhan ampunkan baginya
(dosanya)" dan jika dia tidak menyempurnakan puasanya dengan ketaqwaan
kepada Allah, maka pintu dan hari itu tidak akan memohonkan ampun baginya, dan
dikatakan padanya: "Kau telah ditipu oleh dirimu.")
Niat puasa bulan Rejab ialah :
Maksudnya : "Sahaja aku puasa
sunat bulan Rejab kerana Allah Ta'ala".
Demikianlah satu amalan yang baik untuk
diamalkan di bulan Rejab, bulan terbukanya pintu langit dan terbukanya pintu
syurga. Sama-samalah kita merebut peluang ini dan semoga amalan kita akan
diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala.
No comments:
Post a Comment