Pernahkah kita, setelah membuat perancangan untuk bersukan di waktu petang, merungut kerana hujan lebat yang tiba-tiba turun? Pernahkah kita seolah-olah marah kerana cuaca yang amat panas atau amat sejuk? Pernahkah kita merasa tidak puas hati dengan wajah yang dirasakan tidak cukup cantik dan bentuk badan yang tidak seperti diharapkan?
Apabila kita merungut, marah atau merasa tidak puas hati, adakah kita menujukannya kepada hujan, cuaca dan badan sendiri atau kepada Yang menurunkan hujan, menukar cuaca dan mencipta rekabentuk kita?
Saya bagi contoh lain. Apabila makan mee
goreng di restoran dan kita merungut rasanya tak sedap, adakah ia salah
mee atau salah tukang masak yang menggoreng mee tersebut? Tentulah
tukang masak. Demikianlah juga, apabila kita merungut, marah, merasa
tidak puas hati dan sebagainya kepada pelbagai urusan alam ini,
termasuk diri kita sendiri, kita sebenarnya merungut, marah dan tidak
puas hati kepada Allah.
Di sinilah letak kepentingan untuk
memahami surah al-Fatihah yang lazim kita baca kerana dalam surah
tersebut, kita sebenarnya memuji-muji Allah melalui ayat Alhamdulillahi
Rabbil ‘Alamin yang bererti “Segala puji bagi Allah, Tuhan untuk
mencipta, mengurus dan mengetahui segalanya berkenaan alam ini”.
Allah, Tuhan Alam Ini.
Sebagai umat Islam, kita tidak sekadar
beriman bahawa Allah adalah Rabb alam ini, tetapi kita memuji Allah
atas kesempurnaan dan keindahan Allah sebagai Rabb bagi alam ini. Rabb
dari sudut bahasa bererti tuhan sementara dari sudut aqidah bererti
tuhan yang mencipta, mengurus dan mengetahui segalanya berkenaan alam
ini. Memandangkan kita juga hidup di dalam alam ini, maka kita juga
termasuk penciptaan, pengurusan dan pengetahuan Allah.
Justeru melalui surah al-Fatihah, kita
sebenarnya memuji-muji Allah sebagai Rabb alam ini. Kita memuji Allah
atas penciptaan alam yang indah lagi menakjubkan ini. Kita memuji Allah
atas peredaran matahari dan planet-planet, pertukaran siang dan malam
serta cuaca yang berbeza beza.
Kita juga memuji Allah atas segala
kurniaan Allah kepada kita merangkumi kehidupan, kesihatan, ilmu,
kemampuan bergerak dan pelbagai lagi nikmat yang tidak dapat
disenaraikan dalam penulisan ini.
Keimanan dan pujian kita kepada Allah
sebagai Rabb alam ini menjadikan kita hanya berharap dan berdoa kepada
Allah apabila menghadapi sesuatu kesulitan, dan memanjatkan kesyukuran
atas apa-apa kebaikan. Ini kerana hanya Allah sebagai Rabb alam ini
yang dapat mengabulkan doa dan membantu kita. Hanya Allah sebagai Rabb
alam ini yang layak kita katakan “Terima kasih” yang sebenar-benarnya.
Akan tetapi
Di sini mungkin ada yang tertanya,
kenapakah berlaku beberapa fenomena “tidak sempurna” dalam alam yang
diurus oleh Allah, seperti gempa bumi, angin ribut, tanah runtuh dan
lainlain tragedi alam? Jawapannya, semua fenomena tersebut masih
termasuk dalam kesempurnaan pengurusan Allah. Allah menjadikan fenomena
tersebut sebagai ujian kepada manusia, sebagaimana firman-Nya:
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu
akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan)
seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada
kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan
serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh)…
[al-Baqarah 2:214]
No comments:
Post a Comment